SEORANG wanita warga emas ditemukan maut dipercayai dibunuh di sebuah rumah di Taman Desa Aman, Ipoh malam tadi.
Mayat mangsa yang berusia 70 tahun ditemukan dalam keadaan terbaring dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan kecederaan dipercayai akibat ditetak pada bahagian badan, kepala dan leher mangsa.
“Turut ditemukan di lokasi adalah sebilah parang yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Muhammad Najib, seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun telah ditahan di lokasi kejadian bagi membantu siasatan.
Katanya, motif kejadian masih dalam siasatan dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Beliau memberitahu, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk proses bedah siasat.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menyalurkannya kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di talian 05-245 1500 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.


