PASANGAN suami isteri yang menyerah diri kepada polis selepas dilaporkan hilang sejak 20 Julai lalu direman selama empat hari bagi membantu siasatan dipercayai berkaitan kes penipuan melibatkan hutang kutu.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Nor Syaliati Mohd. Sobri terhadap suspek lelaki berusia 39 tahun dan isterinya, 36, bermula hari ini sehingga Ahad.
Kedua-duanya disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Terdahulu, pasangan berkenaan dibawa ke Mahkamah Jitra menaiki lori polis kira-kira jam 9 pagi bagi permohonan reman sebelum dibawa ke lokap Balai Polis Jitra sebaik prosiding selesai.
Media sebelum ini melaporkan tiga beranak terbabit dilaporkan hilang selepas keluar dari kediaman mereka di Taman Desa Bayanmas, Bukit Kayu Hitam sejak 20 Julai lalu.
Susulan kehilangan itu, bapa kepada wanita berkenaan yang berusia 62 tahun membuat laporan polis selepas gagal menghubungi anak perempuannya, menantu serta cucunya.
Ahli keluarga memaklumkan kali terakhir mereka berhubung dengan ketiga-tiga individu terbabit adalah pada 20 Julai sebelum mereka gagal dikesan.
Hasil semakan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di kawasan perumahan itu mendapati tiga beranak tersebut pulang ke rumah kira-kira jam 1.12 pagi sebelum keluar semula tidak lama kemudian.
Siasatan awal polis turut tidak menolak kemungkinan kehilangan mereka mempunyai kaitan dengan hutang bermain kutu selepas menerima satu laporan daripada seorang lelaki berusia 23 tahun yang mendakwa kerugian kira-kira RM25,000.
Awal pagi tadi, pasangan suami isteri itu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu sebelum ditahan bagi membantu siasatan.






