Suami isteri antara tujuh ditahan, dadah lebih RM538,000 dirampas

POLIS menumpaskan sindiket pengedaran dadah dengan penahanan tujuh individu termasuk sepasang suami isteri serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM538,000 dalam empat serbuan berasingan di sekitar Ipoh dan Tapah, Selasa lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, semua suspek warga tempatan berusia antara 22 hingga 44 tahun itu ditahan dalam operasi yang dijalankan antara jam 12.30 tengah hari Selasa hingga 3.05 pagi keesokan harinya.

Menurutnya, operasi membabitkan dua serbuan di sebuah pusat hiburan di Ipoh dan dua lagi di premis kediaman sekitar Tapah, lapor Harian Metro.

“Hasil serbuan pertama dan kedua, polis menahan enam individu termasuk sepasang suami isteri serta merampas 20 paket plastik lutsinar berisi ketamin seberat 24.14 gram dan 17 bungkusan mengandungi dadah jenis MDMA seberat 574.81 gram.

“Hasil soal siasat kemudian membawa kepada serbuan ketiga di sebuah rumah di Tapah yang menemukan 71 paket lutsinar mengandungi serbuk dadah MDMA seberat 2.502 kilogram serta satu paket ketamin seberat 4.06 gram,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pemakaian Pangkat Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Perak dan Ketua Polis Daerah Taiping di Mes Pegawai Kanan PDRM Perak, hari ini.

Mohd Alwi berkata, serbuan keempat di sebuah rumah di Bukit Pagar, Tapah pula membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki tempatan.

Katanya, pemeriksaan di rumah itu menemukan pelbagai jenis dadah termasuk 151.62 gram serbuk MDA dan 9.68 gram ketamin.

“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM538,451 dan boleh digunakan oleh kira-kira 23,332 penagih.

“Siasatan mendapati kegiatan pengedaran dadah itu dipercayai aktif sejak Jun lalu,” katanya.

Beliau berkata, polis turut menyita tiga kenderaan bernilai RM224,000 serta wang tunai RM32,376 bagi tujuan pelucuthakan harta.

Menurutnya, sindiket terbabit menjadikan pusat hiburan sebagai lokasi menjual dadah kepada pelanggan.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati dua daripada suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

“Semakan turut mendapati enam daripada tujuh suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, enam suspek yang ditahan dalam serbuan pertama dan kedua direman selama empat hari sehingga Sabtu ini, manakala seorang lagi suspek yang ditahan dalam serbuan keempat direman selama tiga hari sehingga esok.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img