JUMLAH keahlian UMNO dilaporkan melonjak, terutamanya penyertaan dalam kalangan ahli baharu golongan muda susulan kejayaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 pada 1 Ogos lalu.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pendaftaran keahlian baharu parti secara dalam talian menunjukkan sambutan luar biasa, kebanyakannya anak muda berusia di antara 18 dan 25 tahun.

“Luar biasa sambutan pendaftaran keahlian UMNO secara atas talian selepas PRN Negeri Sembilan ini. Kebanyakannya adalah anak-anak muda antara usia 18 dan 25 tahun.
“Buat yang berminat, boleh layari laman keahlian UMNO di https://myumno.org/,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Asyraf Wajdi berkata, daripada 18,650 keahlian baharu itu, 54 peratus atau 10,080 ahli di bawah Pemuda, 22 peratus (4,156) ahli biasa, 12 peratus (2,288) Puteri dan 11 peratus (2,126) Wanita.
Pada PRN Negeri Sembilan Ke-16 lalu, BN yang membentuk persefahaman dengan Perikatan Nasional (PN) memperoleh majoriti dua pertiga untuk menubuhkan kerajaan negeri.
Persefahaman dua gabungan itu mendapat mandat menang di 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan BN menang 18 kerusi berbanding 14 pada PRN 2023, manakala PN pula menang tujuh kerusi berbanding lima.
Daripada 18 kerusi diraih BN, UMNO menang 16 kerusi, manakala dua lagi disumbangkan MCA.
Kerusi PN pula membabitkan empat dimenangi Pas dan dua oleh Parti Wawasan Negara (Wawasan).
Kemenangan di Negeri Sembilan hadir kira-kira tiga minggu selepas kejayaan BN pada PRN Johor Ke-16 pada 11 Julai lalu apabila memperoleh 48 daripada 56 kerusi DUN.





