Wanita maut dirempuh lori muatan gas ketika melintas jalan

SEORANG wanita warga asing maut selepas dirempuh sebuah lori muatan gas ketika melintas jalan di Jalan Semenyih berhampiran Pasaraya Lotus di Kajang, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, mangsa berusia 41 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika sebuah lori muatan gas dipandu lelaki tempatan berusia 36 tahun dalam perjalanan dari Semenyih menuju ke Ecohill bagi menghantar bekalan gas.

Menurutnya, ketika melalui lokasi kejadian, mangsa dipercayai sedang menyeberangi jalan dari arah Pasaraya Lotus.

“Bagaimanapun, pemandu lori tidak sempat mengelak sebelum melanggar mangsa.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas kesihatan akibat kecederaan parah pada bahagian kepala,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.

Katanya, jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 10 tahun, denda maksimum RM50,000 serta hilang kelayakan memegang lesen memandu bagi tempoh tidak kurang lima tahun.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, Inspektor Mohd Raziman Rasid di talian 019-4565502 bagi membantu siasatan.

Naazron turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati, mengamalkan pemanduan berhemah serta mematuhi peraturan lalu lintas demi keselamatan semua pihak.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img