PENDAKWAAN terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini ditangguhkan selepas beliau dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) bagi menerima rawatan.
Hakim Suzana Hussin membenarkan permohonan penangguhan yang dikemukakan pihak pembelaan dan pendakwaan sebelum menetapkan 27 Ogos ini sebagai tarikh baharu bagi pembacaan pertuduhan serta pengambilan pengakuan.
“Memandangkan tertuduh kini berada di IJN kerana isu kesihatan, termasuk permohonan penangguhan oleh pembelaan serta pendakwaan, mahkamah membenarkan prosiding pembacaan pertuduhan termasuk pengambilan pengakuan akan dilakukan tiga minggu lagi,” katanya.
Berdasarkan sistem kehakiman, Ahli Parlimen Bera berusia 66 tahun itu sepatutnya didakwa di hadapan Hakim Suzana pada jam 10 pagi.
Terdahulu, peguam yang mewakili Ismail Sabri, Datuk Amer Hamzah Arshad memaklumkan anak guamnya sedang menjalani rawatan di IJN dan tidak dapat hadir ke mahkamah atas faktor kesihatan.
Difahamkan, Ismail Sabri dijadual menjalani prosedur memasang alat perentak jantung (pacemaker) pada petang ini.
Kes berkenaan beliau dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan SPRM terhadap pengisytiharan harta bekas Perdana Menteri itu.
Pada Mac 2025, SPRM mendedahkan rampasan wang tunai kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing serta 16 kilogram jongkong emas tulen bernilai hampir RM7 juta yang ditemukan dalam tiga premis termasuk sebuah ‘safehouse’ dipercayai berkaitan siasatan rasuah dan pengubahan wang haram.
Sementara itu, pada 1 Oktober 2025, Mahkamah Sesyen melucutkan hak wang tunai berjumlah RM169 juta yang didakwa milik Ismail Sabri kepada Kerajaan Malaysia selepas tiada pihak ketiga tampil mencabar permohonan pelucuthakan yang difailkan pendakwaan.
Rampasan itu melibatkan wang tunai dalam pelbagai mata wang asing termasuk ringgit Malaysia, dolar Singapura, dolar Amerika Syarikat, franc Swiss, euro, yen Jepun, pound sterling, dolar New Zealand, dirham Emiriah Arab Bersatu dan dolar Australia.
Sebelum itu, pada 8 September 2025, mahkamah diberitahu bahawa Ismail Sabri dan bekas Setiausaha Politiknya, Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus, tidak berhasrat mencabar permohonan pendakwaan untuk melucutkan hak wang tunai yang disita SPRM.
Prosiding pembacaan pertuduhan terhadap Ismail Sabri kini dijadualkan berlangsung di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 27 Ogos ini, tertakluk kepada keadaan kesihatannya.






