SEORANG guru Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth, hari ini, atas lapan pertuduhan membabitkan amang seksual fizikal dan mencabul kehormatan beberapa pelajar lelaki antara Mei 2023 hingga Januari 2026.
Tertuduh, Ahmad Fahmi Haron, 52, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Ooi Sheow Yean.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun di sebuah sekolah dalam daerah Seberang Perai Utara (SPU) antara April hingga Mei 2024.
Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua hingga kelapan pula, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap enam pelajar lelaki berusia antara 13 hingga 17 tahun secara berasingan tanpa kerelaan mereka dengan niat mencabul kehormatan.
Semua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Ahmad Fahmi didakwa melakukan semua kesalahan berkenaan di sebuah bilik dan kantin sekolah antara Mei 2023 hingga Januari 2026.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak manakala tertuduh diwakili peguam Muhd Nazreev Mohd Najeeb.
Semasa prosiding, pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan atas alasan pertuduhan dihadapi tertuduh adalah serius serta membabitkan mangsa bawah umur.
Bagaimanapun, pihak pembelaan memohon mahkamah menggunakan budi bicara untuk membenarkan tertuduh diikat jamin dengan memaklumkan bahawa dia telah dipindahkan ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Seberang Perai Utara dan tidak mempunyai risiko mengganggu mangsa.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM45,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan, selain mengarahkan dia melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap 1 hari bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah serta tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 14 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.






