PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meluangkan masa makan tengah hari bersama-sama masyarakat di Restoran Sultan Salai Taboh Naning di Alor Gajah, Melaka.
Ketibaan Anwar pada kira-kira 12.30 tengah hari, disambut Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abdul Halim dan Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar.
Sepanjang kira-kira 30 minit berada di restoran itu, Perdana Menteri sempat beramah mesra dengan para peniaga dan lebih 100 pengunjung yang tidak melepaskan peluang bersalaman serta merakam swafoto bersama beliau, termasuk kanak-kanak dan warga emas.
Anwar turut menikmati pelbagai hidangan masakan salai yang menjadi antara makanan ikonik dan tarikan di kawasan Taboh Naning.
Sejurus selesai makan tengah hari, beliau beredar ke Masjid Ar-Rasyidin, Alor Gajah bagi menunaikan solat Jumaat.
Sementara itu, ketibaan Anwar di masjid berkenaan kira-kira 1.20 tengah hari disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan dan ahli jawatankuasa pengurusan masjid.
Beliau turut mendengar khutbah bertajuk Rabi’ul Awwal, Menghayati Sirah, Menyubur Mahabbah yang disampaikan khatib bersama-sama kira-kira 2,000 jemaah.
Jemaah yang hadir turut tidak melepaskan peluang untuk bersalaman dan mengambil gambar dengan Perdana Menteri selepas solat Jumaat.
Anwar dijadualkan menghadiri Program Semarak Kenegaraan di Dewan Serbaguna Kem Terendak, Sungai Udang pada 3 petang dan Karnival Gelombang MADANI di Kompleks Sukan Masjid Tanah pada 4.30 petang.
Lawatan kerja beliau ke Melaka hari ini akan diakhiri dengan sambutan Hari Landskap Negara 2026 (HLN 2026) di Stadium Hang Jebat, Krubong pada 8 malam.






