SEORANG bekas anggota tentera yang sedang menjalani pemulihan dadah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Muar hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak rakan ketika menghantar kanak-kanak itu ke sekolah, dua tahun lalu.
Tertuduh, Roslan Ghazali, 54, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Khairi Haron.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun ketika menaiki motosikal di Lorong Sepakat, antara jam 12.30 tengah hari hingga 1 petang pada 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, ibu mangsa yang juga rakan baik kepada isteri tertuduh meminta rakannya menghantar anaknya ke sekolah pada hari kejadian.
Bagaimanapun, isteri tertuduh meminta Roslan menghantar mangsa dengan menaiki motosikal.
Semasa dalam perjalanan, tertuduh didakwa mengambil kesempatan melakukan perbuatan itu terhadap mangsa.
Mangsa dikatakan hanya memendam perasaan sebelum menceritakan kejadian berkenaan kepada ibunya setahun kemudian.
Bertindak atas laporan polis yang dibuat, tertuduh berjaya ditahan bagi membantu siasatan.
Semakan mendapati tertuduh mempunyai sembilan rekod lampau berkaitan dadah dan dua rekod jenayah.
Tertuduh juga kini sedang menjalani rawatan serta pemulihan dadah di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) di Selangor.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Diyana Najihah Muhamed Fauzi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Pihak pendakwaan memohon supaya tiada jaminan diberikan memandangkan kesalahan yang didakwa adalah serius.
Mahkamah membenarkan permohonan itu dan menetapkan 7 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen serta pelantikan peguam.






