BARISAN Nasional (BN) tidak menolak kemungkinan berlaku pertukaran atau ‘swap’ kerusi dengan rakan politik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, asalkan rundingan itu dibuat secara jujur, seimbang dan tidak menjejaskan jumlah kerusi yang diperuntukkan kepada setiap parti.
Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerusi yang telah dimenangi mana-mana parti perlu dihormati, namun pertukaran kerusi masih boleh dipertimbangkan sebagai sebahagian daripada rundingan antara parti.
“Sebagaimana yang saya nyatakan bahawa Ketua Menteri Melaka yang juga menjadi Pengerusi BN Negeri Melaka menyatakan bahawa asasnya, sebarang perundingan, di mana-mana kerusi yang dimenangi oleh mana-mana parti, kedudukan itu hendaklah dihormati.
“Tetapi perundingan boleh dilakukan untuk ‘swap’ atau pertukaran kerusi asalkan jumlah kerusi itu sama,” katanya.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Festival Kebudayaan Rungus anjuran Persatuan Momogun Rungus Malaysia (PMRM) di Dewan PMRM, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim yang menyifatkan BN tidak menunjukkan keikhlasan dalam rundingan pengagihan kerusi bagi menghadapi PRN Melaka.
Menurut Ahmad Zahid, konsep pertukaran kerusi itu juga boleh diperluaskan kepada negeri-negeri lain yang dikuasai parti berkenaan, dengan syarat pertukaran dibuat secara seimbang.
“Tetapi kalau mereka boleh melakukannya dengan janji kejujuran dan keikhlasan, saya tidak nampak bahawa Ketua Menteri Melaka tidak boleh melakukannya,” katanya.
Ahmad Zahid berkata BN tidak menutup pintu rundingan, namun keterbukaan itu perlu mempunyai batas bagi memastikan kepentingan parti serta kerusi yang telah dimenangi terus terpelihara.
“Jadi pertama adalah ‘swap’ kerusi, yang kedua kalau boleh ‘swap’ kerusi di negeri-negeri lain yang dikuasai oleh mereka.
“Jadi prinsip kami ialah bahawa tidak mustahil kalau pintu itu terus terbuka untuk perundingan, tetapi jangan buka seluas-luasnya, jangan tutup pintu itu serapat-rapatnya.
“Jadi ertinya masih ada ruang untuk rundingan itu di dalamnya,” katanya.






