Ronaldo kekal pemain bergaji tertinggi dunia, terima RM18.9 juta seminggu

CRISTIANO Ronaldo terus mengukuhkan statusnya sebagai pemain paling bernilai di Liga Pro Saudi apabila dinobatkan sebagai pemain dengan gaji tertinggi dunia bagi musim 2026/27.

Bersama Al Nassr, kapten Portugal itu dilaporkan memperoleh sekitar 4 juta euro (RM18.9 juta) setiap minggu. Nilai tersebut jauh meninggalkan pemain lain dalam senarai penerima gaji tertinggi di Liga Pro Saudi.

Jika dikira berdasarkan jumlah mingguan berkenaan, pendapatan Ronaldo mencecah kira-kira 208 juta euro (RM983.5 juta) setahun, sekali gus meletakkannya terus di kedudukan teratas.

Tempat kedua menjadi milik penyerang Al Hilal, Karim Benzema yang menerima sekitar 2.3 juta euro (RM10.8 juta) seminggu. Sadio Mane dari Al Nassr pula menduduki tangga ketiga dengan gaji mingguan sekitar 769,000 euro (RM3.6 juta).

Pertahanan Al Hilal, Kalidou Koulibaly berada di tempat keempat dengan 667,000 euro (RM3.1 juta) seminggu, manakala Ivan Toney dan Sergej Milinkovic-Savic berkongsi kedudukan kelima dengan pendapatan masing-masing sekitar 490,000 euro (RM2.3 juta) seminggu.

Senarai berkenaan disusun berdasarkan data daripada Capology, SalaryLeaks dan laporan media.

Pendapatan besar Ronaldo itu hadir selepas dia membantu Al Nassr menamatkan penantian kelab tersebut untuk menjulang trofi Liga Pro Saudi pada musim lalu.

Ronaldo menjadi antara watak penting dalam aksi penentuan pada hari terakhir musim apabila menjaringkan dua gol ketika Al Nassr menewaskan Damac 4-1 untuk mengesahkan kejuaraan.

Kejayaan itu turut membawa makna tersendiri buat Ronaldo kerana ia merupakan trofi kelab pertamanya sejak membantu Juventus memenangi Coppa Italia pada 2021. Ia sekali gus menamatkan penantian panjang pemain berusia 41 tahun itu untuk kembali memenangi kejuaraan liga.

Kini, Ronaldo mengalihkan perhatian kepada musim baharu Liga Pro Saudi dengan sasaran membantu Al Nassr mempertahankan kejuaraan yang dimenangi musim lalu.

Dengan bayaran sekitar 4 juta euro (RM18.9 juta) seminggu, Ronaldo bukan sahaja terus menjadi antara figura paling besar dalam Liga Pro Saudi, malah mengekalkan kedudukannya sebagai pemain bergaji tertinggi dalam dunia bola sepak.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img