Ronaldo ledak gol ke-100 liga Pro Saudi

CRISTIANO Ronaldo terus membuktikan ketajamannya apabila mencetak gol liga ke-100 bersama Al Nassr ketika membantu pasukannya menewaskan Al Shabab 4-2 dalam aksi Liga Pro Saudi, awal pagi tadi.

Kemenangan tersebut mengukuhkan kedudukan Al Nassr dalam perebutan kejuaraan apabila mereka kini memiliki kelebihan lima mata, namun Al Hilal masih berpeluang memintas kerana mempunyai tiga baki perlawanan berbanding dua aksi buat Al Nassr.

Pertembungan derbi Riyadh menentang Al Hilal pada 12 Mei nanti dijangka menjadi aksi penentu dalam perebutan takhta liga musim ini.

Dalam perlawanan itu, Joao Felix muncul pemain paling menyerlah selepas menghasilkan hatrik, sementara Ronaldo pula semakin hampir mencapai satu lagi pencapaian besar apabila kini hanya kekurangan 29 jaringan untuk melengkapkan 1,000 gol rasmi sepanjang karier profesionalnya.

Al Nassr tidak menunggu lama untuk membuka jaringan apabila Felix menyempurnakan rembatan voli seawal minit ketiga hasil situasi kelam-kabut di depan gol selepas hantaran lintang Sadio Mane.

Penyerang Portugal itu terus menambah derita pelawat pada minit ke-10 menerusi tandukan kemas selepas menerima hantaran Abdulrahman Ghareeb.

Al Shabab cuba memberi saingan dan berjaya merapatkan kedudukan menerusi Yannick Carrasco pada minit ke-30 selepas memanfaatkan kesilapan pemain tengah lawan.

Pasukan pelawat hampir menyamakan kedudukan sebelum rehat, namun tandukan Carrasco sekadar singgah di palang gol, manakala percubaan Ali Al Azaizeh dalam babak kedua pula terkena tiang.

Ronaldo kemudian menggamatkan stadium pada minit ke-75 apabila menyudahkan hantaran Mane untuk menjadikan kedudukan 3-1, sekali gus mencatat gol liga ke-100 beliau di Arab Saudi.

Al Shabab sempat menghidupkan peluang menerusi jaringan Ali Al Bulayhi, namun Felix menutup aksi cemerlangnya dengan gol ketiga peribadi menerusi sepakan penalti pada masa tambahan selepas Marcelo Grohe melakukan kekasaran terhadap Abdullah Al Hamddan.

Keputusan itu menjadikan perebutan kejuaraan Liga Pro Saudi semakin hangat dengan Al Nassr kini perlu mengelak kekalahan ketika bertemu Al Hilal sebelum mengharungi aksi terakhir menentang Damac FC.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img