POLIS mengeluarkan sejumlah 213 saman atas pelbagai kesalahan dan menyita 25 motosikal dalam Ops Bersepadu Cegah Samseng Jalanan di Jalan Padang Garam, Kuala Kedah kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, saman itu hasil pemeriksaan ke atas 272 motosikal dalam operasi yang bermula jam 4 petang hingga 11 malam di lokasi disyaki menjadi tempat aktiviti samseng jalanan.
“Operasi melibatkan 47 pegawai dan anggota itu dibuat selepas rungutan dan aduan orang awam yang memaklumkan lokasi berkenaan menjadi litar lumba haram sejak beberapa minggu lalu.
“Sepanjang operasi, 272 motosikal dan 247 individu diperiksa. Hasilnya polis mengeluarkan saman atas pelbagai kesalahan trafik antaranya tiada lesen memandu, lesen tamat tempoh, pengubahsuaian ekzos dan struktur motosikal,” katanya dalam sidang media di Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar di Alor Setar hari ini.
Syed Basri berkata, kesemua motosikal disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas pelbagai kesalahan trafik, termasuk pengubahsuaian struktur dan spesifikasi asal kenderaan yang tidak mematuhi peraturan ditetapkan.
Menurutnya, daripada 25 motosikal yang disita, sembilan adalah milik pelajar berusia bawah 18 tahun dan dua lelaki tempatan berusia 20 dan 22 tahun ditahan sebaik sahaja mereka habis berlumba kerana disyaki menunggang secara melulu serta berbahaya.
“Kedua-dua lelaki ini disiasat di bawah seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Mereka telah dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar semalam dan perintah reman sehari diberikan bagi membantu siasatan. Kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau,” katanya.
Beliau berkata, semasa perlumbaan itu berlangsung, penonton yang berada di bahu jalan di kawasan itu turut diperiksa bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman semua pengguna jalan raya di situ sentiasa terpelihara.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan lalu lintas, khususnya perbuatan yang boleh membahayakan keselamatan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain,” katanya.






