PN terbuka runding, tukar kerusi dengan BN – Ahmad Samsuri

PERIKATAN Nasional (PN) terbuka untuk mengadakan rundingan dengan Barisan Nasional (BN) termasuk kemungkinan pertukaran kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.

Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, rundingan berkenaan bagaimanapun masih belum berlaku dan pihaknya mempunyai ruang masa untuk berbincang sebelum tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ditetapkan.

Menurutnya, PN juga bersedia mengadakan perbincangan bersama rakan-rakan Muafakat sekiranya terdapat kesediaan daripada semua pihak.

“PN terbuka juga untuk melakukan sebarang perundingan yang buat masa ini masih lagi belum berlaku.

“Dengan tempoh yang ada ini, ruang yang terbuka luas untuk pihak dalam PN sendiri duduk bincang dan juga bersama dengan rakan-rakan Muafakat yang lain. Kalau BN bersedia untuk bincang, insya-Allah kita juga bersedia untuk bincang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pas Perak kali ke-23 di Hotel Perdana di Taiping hari ini, lapor Sinar Harian.

Ahmad Samsuri berkata, perbincangan sebelum pembubaran DUN Melaka adalah sesuatu yang lebih ideal bagi membolehkan semua pihak membuat persiapan menghadapi PRN berkenaan.

Katanya, perkembangan di Johor dan Negeri Sembilan menunjukkan terdapat dua model berbeza yang boleh dijadikan rujukan dalam menentukan pendekatan di Melaka.

“Macam-macam boleh berlaku. Kita lihat apa yang berlaku di Johor dan apa yang berlaku di Negeri Sembilan, dua model yang berbeza.

“Apa yang akan berlaku di Melaka ini kita tengoklah apabila sampai waktu dan ketikanya,” katanya.

Semalam, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, gabungan itu masih membuka ruang rundingan berhubung pengagihan, malah pertukaran kerusi bagi menghadapi PRN Melaka, asalkan dilakukan secara jujur dan ikhlas serta tidak menjejaskan jumlah kerusi parti masing-masing.

Ahmad Zahid turut berkata, prinsip asas rundingan ialah kerusi yang dimenangi mana-mana parti perlu dihormati dan tidak diserahkan begitu sahaja kepada rakan politik.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img