PASUKAN bomba dan penyelamat membawa turun seorang pendaki wanita yang juga penuntut sebuah universiti awam yang mengalami kecederaan akibat tergelincir ketika mendaki Gunung Baling, hari ini.
Wanita berusia 24 tahun itu difahamkan mendaki gunung berkenaan bersama 10 rakannya sebelum mereka menghubungi pasukan bomba dan penyelamat untuk mendapatkan bantuan selepas mangsa mengalami kecederaan.
Rakan-rakan mangsa berbuat demikian selepas masing-masing keletihan, selain tidak mempunyai kemahiran untuk membawa mangsa turun dan bimbang berdepan risiko lebih cemas.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.42 tengah hari ini.
Beliau berkata, sepasukan tujuh anggota dari BBP Baling diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohd Basri Othman bergegas ke lokasi untuk menjalankan operasi menyelamat.
“Anggota bomba melakukan pendakian sejauh 1.3 kilometer untuk membawa mangsa turun menggunakan pengusung ke aras mula sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan untuk tindakan lanjut.
“Mangsa mengalami kecederaan di bahagian lutut akibat tergelincir di gunung terbabit dan operasi membawa turun mangsa mengambil masa lebih empat jam,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Harian Metro.
Zulkhairi berkata, cabaran utama operasi adalah permukaan gunung yang bercerun serta tanah licin dan berbatu, namun operasi berjaya dilaksanakan tanpa sebarang kecederaan kepada anggota atau kumpulan pendaki yang turut turun ke bawah.
Beliau turut menasihatkan orang awam yang ingin mendaki bukit atau gunung di daerah ini supaya memastikan tahap kesihatan dalam keadaan baik serta merujuk agensi berkaitan bagi memudahkan pemantauan pergerakan dan melancarkan operasi penyelamatan.
“Sentiasa berhubung dengan ahli keluarga mahu pun rakan serta peka peduli terhadap kecemasan di luar jangka ketika mendaki. Operasi tamat sepenuhnya pada jam 5.40 petang,” katanya.






