Pemangku Timbalan KPN tidak pernah adakan sidang media – Bukit Aman nafi hantaran tular

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menafikan satu hantaran tular dalam media sosial yang menggunakan imej dan identiti Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara (KPN), seolah-olah beliau mengadakan sidang media khas berkaitan pelaksanaan sesuatu operasi pasukan itu.

Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Mohamad Noor Yusof Ali berkata, hantaran yang dikesan menerusi sebuah akaun Facebook itu adalah palsu.

Beliau berkata, Pemangku Timbalan KPN tidak pernah mengadakan sidang media atau mengeluarkan sebarang kenyataan seperti yang digambarkan dan dinyatakan dalam hantaran berkenaan.

“Kandungan yang disebarkan menggunakan imej dan identiti palsu serta kedudukan Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara bagi mewujudkan gambaran seolah-olah kenyataan berkenaan adalah pendirian rasmi PDRM.

“Perbuatan berkenaan berpotensi mengelirukan masyarakat, mencetuskan salah faham serta menjejaskan kredibiliti individu dan institusi PDRM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, PDRM sudah membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan menyeluruh dijalankan untuk mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab menghasilkan dan menyebarkan kandungan berkenaan.

“Siasatan turut merangkumi penelitian terhadap motif serta tujuan di sebalik penyebarannya,” katanya.

Beliau berkata, PDRM memandang serius sebarang tindakan menghasilkan, memanipulasi atau menyebarkan kandungan palsu dengan menggunakan identiti, imej atau kedudukan mana-mana pegawai dan anggota pasukan bagi memberikan gambaran bahawa sesuatu kenyataan atau tindakan itu adalah rasmi.

Mohamad Noor turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai atau menyebarkan maklumat yang belum ditentukan kesahihannya, sebaliknya mendapatkan pengesahan menerusi saluran rasmi PDRM dan sumber berita yang sahih.

“PDRM turut menggesa masyarakat menjadi pengguna media sosial yang bertanggungjawab dan tidak terlibat dalam penyebaran kandungan yang boleh menimbulkan kekeliruan serta menjejaskan ketenteraman awam,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img