‘’Adakah mereka selamat apabila dihantar balik?” – Tok Mat Hasan

MALAYSIA akan memberi perhatian terhadap aspek keselamatan 5,000 pelarian Myanmar sebelum sebarang penghantaran pulang ke negara asal mereka dilakukan.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perkara utama adalah sama ada pelarian akan selamat selepas kembali ke Myanmar dan apa yang akan berlaku kepada mereka selepas dihantar pulang.

“Itu kita cakap. Apakah apabila kita menghantar mereka balik, mereka selamat atau pun apa akan terjadi? Itu perlu juga difikirkan,” katanya lapor Buletin TV3.

Mohamad berkata,  perkara itu masih tertakluk kepada rundingan, manakala Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang meneliti perkara berkenaan.

Langkah penghantaran pulang itu dilakukan selepas Myanmar menyatakan kesediaan menerima pelarian berkenaan yang kini berada di Malaysia melalui Menteri Luarnya Tin Maung Swe.

Menurut Mohamad, perkara itu dinyatakan oleh Maung Swe ketika mereka mengadakan pertemuan baru-baru ini.

“Kita di Kementerian Luar (KLN) ini hanya fasilitator, mereka menyatakan kesediaan untuk membawa pulang 5,000 ini dengan kapal,” katanya.

 

 

Beliau memberitahu, tiada tempoh masa ditetapkan ketika ini, namun proses berkenaan perlu dilaksanakan dengan segera dan saringan terhadap pelarian terlibat perlu dibuat.

Bagaimanapun Mohamad menjelaskan, Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, pendekatan perkongsian tanggungjawab ASEAN terhadap isu pelarian Myanmar turut merangkumi usaha memberi tekanan.

Katanya, langkah itu penting bagi mengelakkan kemunculan pelarian baharu, selain membolehkan mereka yang berada di luar Myanmar kembali ke negara asal.

Difahamkan, kira-kira 190,000 pelarian dan pemohon suaka ketika ini berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), dengan lebih 80 peratus daripadanya terdiri daripada etnik Rohingya dan kumpulan etnik lain dari Myanmar.

Isu kebanjiran pelarian Myanmar di Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini sering menjadi perhatian umum, khususnya membabitkan dakwaan peningkatan penempatan di beberapa lokasi, persaingan mendapatkan peluang pekerjaan berpendapatan rendah, selain kebimbangan terhadap aspek keselamatan dan ketenteraman awam.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here