EMPAT lelaki yang didakwa mencederakan seorang peguam serta bersubahat dalam kejadian itu dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Georgetown, hari ini, selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka.
Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi membuat keputusan itu terhadap Koay Beng Ghee, 38; Teh Eng Tat, 38; Ng Weng Kooi, 43; dan Yeoh Ee Seong, 48, selepas mendapati wujud percanggahan, kelompangan dan naratif tidak konsisten dalam kes pendakwaan.
Beliau berkata, pihak pendakwaan banyak bergantung kepada naratif pengadu, sedangkan kejadian serangan berlaku dalam tempoh amat singkat, iaitu kurang 10 saat dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan pelaku memakai pelitup muka.
“Dalam kes ini, mahkamah mendapati pihak pendakwaan bergantung kepada naratif pengadu. Kejadian serangan itu berlaku amat singkat, iaitu kurang 10 saat yang mana hasil pengamatan daripada rakaman CCTV, pelaku didapati memakai pelitup muka.
“Mahkamah berpendapat pengecaman pengadu terhadap tertuduh kedua, berdasarkan ciri mata sembab semata-mata adalah amat berisiko, tidak selamat dan tidak memadai mengaitkannya secara konklusif,” katanya ketika membacakan keputusan kes itu.
Menurutnya, terdapat percanggahan ketara dalam keterangan pengadu berhubung sama ada pelaku memakai pelitup muka, sekali gus menjejaskan kebolehpercayaan pengecaman terhadap tertuduh ketiga.
Selain itu, mahkamah turut meragui kemampuan pengadu mengingati perincian khusus ketika kejadian yang berlaku dalam keadaan cemas dan mengancam nyawa.
Nadratun berkata, pengadu didakwa mampu mengenal pasti jenama baju di sebalik jaket, warna pakaian, saiz batang besi serta model kenderaan, walaupun kejadian berlaku dalam tempoh singkat.
“Mahkamah juga sukar menerima naratif luar biasa dikemukakan pengadu mengenai ketelitian penglihatannya ketika insiden berlaku dalam tempoh amat singkat, kurang 10 saat dalam keadaan sedang bertarung nyawa berada pada posisi terduduk bersandar pada kereta sambil menaikkan kedua-dua tangannya untuk melindungi kepala daripada pukulan,” katanya.
Beliau berkata, pengadu turut mendakwa sempat mengecam baju-T jenama Calvin Klein yang dipakai pelaku yang dikatakan tertuduh kedua di sebalik jaket hitam, selain seluar putih serta ciri mata sembab walaupun pelaku memakai topi dan pelitup muka.
Katanya, pengadu turut dikatakan mampu mengecam pakaian tertuduh ketiga serta mengukur panjang batang besi yang digunakan dalam serangan, sedangkan barang kes berkenaan tidak dikemukakan sepanjang perbicaraan.
Nadratun berkata, rakaman CCTV pula tidak menunjukkan wajah penyerang dengan jelas, manakala pakaian yang dirampas sepanjang siasatan tidak sepadan dengan pakaian yang dilihat dalam rakaman berkenaan.
“Pegawai penyiasat juga bersetuju percanggahan ini ketika pemeriksaan balas. Hal ini menjejaskan kebolehpercayaan bukti pandu arah itu, sekali gus menjadikan keterangan sokongan ini tidak mampu memberi sebarang nilai kepada pengesahan identiti tertuduh dalam kes ini,” katanya.
Mengenai tertuduh keempat, beliau berkata, pihak pendakwaan hanya mengemukakan kemungkinan motif yang timbul daripada pertikaian mahkamah dengan pengadu, namun gagal mengemukakan bukti terus atau ikatan bahawa tertuduh merancang, mengarah atau bersubahat dalam serangan itu.
Beliau berkata, pihak pendakwaan memanggil sembilan saksi dan mengemukakan 42 eksibit, namun gagal membuktikan kes prima facie terhadap kesemua empat tertuduh.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya M Darrshini, manakala Beng Ghee, Eng Tat dan Weng Kooi diwakili peguam Muhamad Asri Abdul Hamid. Ee Seong pula diwakili peguam Mohd Khairul Fairuz, Datuk Suhaimi Ibrahim dan Marcia Geraldine Lopez.
Pada 24 Disember 2024, Beng Ghee, Eng Tat dan Weng Kooi mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersama-sama mencederakan Beh Hong Shien, 37, menggunakan rod besi di tepi jalan Persiaran Karpal Singh pada jam 9.50 pagi, 22 Oktober tahun sama.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Tiga hari kemudian, Ee Seong yang juga seorang peniaga, dituduh bersubahat dalam jenayah itu mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkenaan.





