Arul Kumar Pengerusi baharu DAP Negeri Sembilan

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai, J Arul Kumar dilantik mengetuai DAP Negeri Sembilan berkuat kuasa hari ini.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, pelantikan Arul dibuat sebulat suara oleh Jawatankuasa DAP Negeri Sembilan selepas beliau melepaskan jawatan disandangnya selama 22 tahun pada 3 Ogos lalu.

Anthony melepaskan jawatan itu susulan kekalahan DAP di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah dan Repah, yang dimenangi mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023.

“Pemilihan Arul adalah sesuatu yang saya rasa amat positif dan membuktikan DAP parti berbilang kaum. Kita melihat seseorang itu dari segi kelayakan dan kebolehan beliau untuk memimpin.

“Saya menaruh keyakinan dan kepercayaan kepada jawatankuasa negeri baharu kerana pasukan kita berpengalaman, telah lama bekerjasama dan bersatu padu, paling penting kita akan meneruskan kerja di setiap kawasan yang diwakili dengan bersungguh-sungguh,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa DAP Negeri Sembilan di Seremban, lapor Bernama.

Anthony gagal mempertahankan kerusi Chennah buat penggal keempat pada 1 Ogos lalu apabila tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), Siow Kong Choon dengan majoriti 688 undi.

Arul mengekalkan kerusinya pada 1 Ogos lalu dengan meraih 15,797 undi dalam pertandingan lima penjuru menentang calon BN, Lai Chien Kong (9,860), V K Saravana daripada Bersatu (718), Zamani Ibrahim daripada Berjasa (5,844) dan calon bebas, Omar Isa (167).

Anthony yang juga Menteri Pengangkutan berkata, dari segi rekod, DAP Negeri Sembilan pernah dipimpin tokoh Melayu iaitu Yusoff Badur pada awal 80-an walaupun beliau tidak pernah memenangi mana-mana pilihan raya yang di sertainya.

“Saya yakin dan percaya saudara Arul Kumar mampu menggalas tugas dan tanggungjawab dalam kejayaan DAP Negeri Sembilan untuk memberi khidmat terbaik kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu Arul berkata, beliau akan berusaha untuk menggalas tanggungjawab diamanahkan dengan baik.

“Tanggungjawab selepas ini mencabar selepas kita menang sembilan kerusi dalam PRN lalu. Fokus kita untuk terus beri khidmat terbaik kepada rakyat sebaik mungkin walaupun bukan berada dalam kerajaan negeri,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here