JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengadakan sesi libat urus bersama penganjur RXZ Members di Ibu Pejabat JPJ, Putrajaya, esok bagi membincangkan aspek keselamatan serta penambahbaikan penganjuran program berkenaan.
Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, sesi yang dijadualkan pada pukul 2.30 petang itu merupakan kali pertama JPJ mengadakan libat urus bersama penganjur RXZ Members.
Katanya, sesi berkenaan bertujuan mendapatkan pandangan penganjur selain mencadangkan beberapa penambahbaikan bagi memastikan program dapat berlangsung dengan lancar tanpa menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya.
“Kita adakan sesi libat urus ini kerana kita mahu mendengar pandangan daripada mereka (penganjur) berkaitan dengan penganjuran program dan kami juga akan mencadangkan beberapa penambahbaikan untuk memastikan kelancaran program RXZ Members.
“Kami bukan mahu menyekat program tetapi apa yang paling penting ialah kami mahu memastikan keselamatan pengguna jalan raya, bukan hanya kepada peserta sendiri tetapi seluruh pengguna jalan raya.
“Contohnya penganjuran yang lalu 11 kematian dan daripada 11 kematian itu ada yang terbabit adalah bukan peserta,” katanya pada sidang media Ops Ekstrem di JPJ Kuala Lumpur, hari ini.
Muhammad Kifli berkata, pihaknya mahu memastikan penganjuran program berkenaan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi menjamin keselamatan peserta dan pengguna jalan raya lain.
Pada 2 Ogos lalu, media melaporkan JPJ akan mempertingkatkan penguatkuasaan terhadap peserta program himpunan motosikal termasuk RXZ Members dan mengadakan sesi libat urus dengan penganjur susulan kemalangan yang sering dikaitkan dengan penganjuran acara itu.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli sebelum ini dilaporkan berkata, pihaknya tidak menghalang penganjuran program permotoran, namun semua peserta diwajibkan mematuhi undang-undang jalan raya serta peraturan teknikal kenderaan.
Beliau berkata, JPJ sudah memberikan nasihat kepada penganjur dan peserta supaya memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat serta mematuhi semua peraturan sepanjang perjalanan ke lokasi dan ketika acara berlangsung.





