AMALAN melantik tokoh politik atau individu yang mempunyai kepentingan politik aktif ke dalam lembaga pengarah atau jawatan pengurusan tertinggi Lembaga Tabung Haji (TH) hendaklah dihentikan selaras dengan syor laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini bagi mengelakkan campur tangan politik dalam keputusan pelaburan dan pengurusan dana pendeposit.
“Pelantikan ahli lembaga pengarah dan pengurusan tertinggi TH termasuk anak-anak syarikat TH hendaklah berasaskan merit, integriti, kelayakan profesional serta pengalaman luas dalam bidang kewangan, perbankan, pelaburan, undang-undang dan syariah.
“Ujian fit and proper person (individu yang layak dan sesuai) hendaklah dilaksanakan dengan menggunakan kriteria penapisan yang ketat mengikut piawaian kawal selia seperti yang terkandung dalam garis panduan Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum mana-mana individu dilantik.
“Syarat ini adalah penting untuk memastikan individu yang dilantik bebas daripada sebarang konflik kepentingan, isu integriti atau tekanan politik luar,” kata bekas Perdana Menteri itu semasa sidang khas Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, audit forensik secara menyeluruh dan berterusan juga mesti dilaksanakan dengan segera dan disiapkan dalam tempoh setahun membabitkan TH.
Beliau berkata, ia memandangkan terdapat kelemahan tadbir urus dan ketirisan yang amat kompleks dalam pengurusan dana TH.
“Audit forensik bebas amat penting untuk menjejaki aliran dana, mengenal pasti unsur penipuan dan salah guna kuasa serta kecuaian yang mungkin telah berlaku.
“Sesiapa sahaja yang bertanggungjawab menyebabkan kerugian dana TH sama ada melalui penipuan, salah guna kuasa atau kecuaian mesti dibawa ke muka pengadilan,” katanya.
Selain itu katanya, kerajaan juga digesa untuk komited bagi melaksanakan setiap syor dan cadangan yang dikemukakan oleh RCI secara tegas dan berterusan.
“Ini termasuklah menambah baik kerangka perundangan Akta Tabung Haji 1995, melakukan pemantauan dan seliaan yang lebih ketat oleh BNM atau badan kawal selia yang berkaitan, membentuk jawatankuasa pelaburan yang bebas dan berintegriti, serta menstruktur semula portfolio pelaburan agar sentiasa berhati-hati dan patuh syariah,” katanya.




