PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah menggagalkan cubaan menyeludup 5,000 liter petrol bersubsidi ke negara jiran selepas menahan tiga lelaki di tepi sungai Kampung Mapan-Mapan, Pitas, tengah malam tadi.
Dalam serbuan kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, tiga lelaki berusia antara 36 hingga 39 tahun ditahan ketika dipercayai sedang memindahkan tong berisi petrol bersubsidi menggunakan bot di kawasan muara sungai.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, pasukannya merampas 5,000 liter petrol bersubsidi bersama 38 tong dram dalam operasi berkenaan.
“Turut dirampas tiga bot kayu termasuk enjin dan kelengkapan bot dengan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan lebih RM100,000,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Sementara itu, Ahmad Amri berkata, bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, PPM Wilayah 4 Sabah merekodkan 100 kes mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 membabitkan 92 tangkapan.
Katanya, sepanjang tempoh sama, jumlah keseluruhan nilai rampasan direkodkan melebihi RM25.2 juta.





