Dua lelaki dipenjara, denda RM8,000 buat sijil cuti sakit palsu

DUA lelaki masing-masing dihukum penjara 14 hari dan denda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret Kuantan hari ini selepas mengaku bersalah menghasilkan dan menggunakan dokumen palsu berupa sijil cuti sakit (MC), antara Mac hingga Julai lalu.

Tertuduh, Mohd Shukrie Zainuddin, 28, dan Muhammad Asyraf Zunaidy, 31, turut berdepan hukuman penjara lapan bulan sekiranya gagal menjelaskan denda yang ditetapkan Majistret Ellyna Othman.

Mengikut kertas pertuduhan yang dibacakan bersama, kedua-dua tertuduh didakwa secara tidak jujur menghasilkan dokumen palsu iaitu 40 sijil cuti sakit sebuah klinik dengan menggunakan nama serta tandatangan seorang doktor dengan niat menipu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kilang di Jalan Bypass Gebeng, antara 28 Mac hingga 13 Julai lalu.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 465 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya B Deevagaran Naidu, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Terdahulu, peguam kedua-dua tertuduh dalam rayuan memaklumkan anak guam mereka menginsafi kesalahan dilakukan dan tidak akan mengulanginya selain memohon hukuman denda dikenakan.

Deevagaran Naidu bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap kedua-dua tertuduh berdasarkan kesalahan dilakukan.

Selepas mengambil kira hujahan kedua-dua pihak, Ellyna menjatuhkan hukuman penjara 14 hari bermula dari tarikh ditahan dan denda RM8,000 terhadap setiap tertuduh.

Kedua-dua tertuduh akan menjalani hukuman penjara selama lapan bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan, lapor Harian Metro.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here