Promosi judi, pempengaruh wanita dikenakan bon berkelakuan baik

MAHKAMAH Marang memerintahkan seorang pempengaruh wanita menjalani bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan jaminan RM2,000 kerana mempromosikan perjudian dalam talian.

Majistret Nur Athirah Hashim membuat keputusan itu terhadap Nur Syakilla Natasya Sukri, 20, selepas mengambil kira laporan sosial Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta rayuan pihak pembelaan.

Tertuduh diwakili peguam Muhamad Ramlan Taib, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Sarah Syamimi Safie.

Mahkamah turut dimaklumkan Penolong Pegawai Kebajikan Masyarakat, Shahrizal Ali menyediakan laporan sosial berikutan tertuduh yang berusia bawah 21 tahun dikategorikan sebagai pesalah muda bagi membantu mahkamah menilai latar belakang, keadaan diri dan faktor yang wajar dipertimbangkan sebelum hukuman dijatuhkan, lapor Buletin TV3.

Berdasarkan laporan itu, tertuduh mengalami kecederaan pada bahagian paha sehingga tidak mampu melakukan kerja berat dan kurang bergaul, tidak mempunyai ramai rakan dan jarang keluar rumah.

JKM turut memberi jaminan bahawa keluarga tertuduh mampu mengawal serta memantau tingkah lakunya.

Mengikut pertuduhan, Nur Syakilla didakwa mempromosikan perjudian dalam talian yang mempunyai elemen pertaruhan atau promosi perjudian pada jam 12.45 tengah hari, 23 Januari lalu di kawasan Pasar Marang.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Akta 289), yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga tiga tahun, jika sabit kesalahan.

Mahkamah mengambil kira kesalahan itu adalah kesalahan pertama tertuduh sebelum memerintahkannya menjalani bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan jaminan RM2,000.

Mahkamah juga sberharap hukuman berkenaan memberi peluang kedua kepada Nur Syakilla dan menjadi peringatan kepada pempengaruh media sosial lain supaya tidak mudah terperdaya dengan tawaran lumayan untuk mempromosikan kegiatan perjudian dalam talian.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here