SEBUAH premis perjudian yang dipercayai berselindung di sebalik operasi kedai runcit diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam operasi khas di Taman Serdang Perdana, Seri Kembangan, semalam.
Dalam operasi bermula jam 3 petang itu, seramai enam warga asing berusia antara 20 hingga 45 tahun ditahan selepas premis berkenaan dipercayai menjalankan kegiatan perjudian sejak kira-kira empat bulan lalu.
JIM dalam kenyataan berkata, operasi itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
Menurutnya, operasi berkenaan dilakukan hasil maklumat awam dan risikan selama sebulan sebelum pasukan digerakkan ke sebuah premis perniagaan di lokasi terbabit.
“Enam warga asing yang ditahan terdiri daripada seorang perempuan warga Indonesia dipercayai sebagai penjaga premis, tiga lelaki warga Bangladesh dan dua perempuan warga Indonesia.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati penjaga premis terbabit melakukan kesalahan tinggal lebih masa, manakala lima lagi warga asing tidak memiliki pas atau dokumen perjalanan yang sah untuk berada di negara ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam operasi itu, JIM turut menyita lapan unit tablet, sebuah pasport Indonesia, sebuah Surat Perjalanan Laksana Pasport (SPLP), salinan lesen perniagaan dan baucar judi.
JIM berkata, modus operandi premis berkenaan adalah berselindung di sebalik kedai runcit bagi mengelakkan kegiatan perjudian dikesan pihak berkuasa.
“Premis perniagaan ini akan mula beroperasi jam 9 pagi hingga 3 pagi keesokan harinya dan kegiatan ini dipercayai telah beroperasi selama empat bulan,” katanya.
Penjaga premis terbabit ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, manakala warga asing lain ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) akta sama.
Kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.
Dalam pada itu, seorang lelaki warga tempatan dan seorang lelaki warga Pakistan turut diberikan Notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.
JIM menegaskan pihaknya akan mengambil tindakan tegas bagi membanteras sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang negara bagi memastikan kestabilan dan kemakmuran negara sentiasa terpelihara.





