AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan menggagalkan cubaan menyeludup bahan kimia campuran (prekursor) pemprosesan dadah bernilai hampir RM5 juta melalui perairan Klebang di Melaka, malam kelmarin.
Pengarah Maritim Malaysia Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Salehuddin Zakaria berkata, kejayaan itu adalah rampasan kedua direkodkan pihaknya dalam usaha membanteras kegiatan penyeludupan bahan berkaitan dadah melalui laluan laut.
Beliau berkata, aset Maritim Malaysia yang sedang menjalankan rondaan rutin menemukan enam kotak dibalut plastik hitam dan disyaki mengandungi cecair atau bahan kimia untuk memproses dadah di pesisir pantai Klebang kira-kira jam 9.06 malam.
“Hasil pemeriksaan menemukan 67 botol cecair bahan kimia dipercayai digunakan dalam pemprosesan dadah sintetik.
“Nilai rampasan bahan berkenaan bagi pasaran gelap dianggarkan hampir RM4.958 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Salehuddin, tiada tangkapan dibuat di lokasi kejadian kerana dipercayai suspek meninggalkan bahan berkenaan selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.
Katanya, semua barang rampasan yang ditemukan itu kemudian dibawa ke Pejabat Maritim Malaysia Melaka dan Negeri Sembilan untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.
“Kes ini disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952 kerana membabitkan bahan kimia terkawal yang disalahgunakan bagi tujuan penghasilan dadah berbahaya.
“Maritim Malaysia akan terus memperhebat rondaan, risikan serta kerjasama strategik dengan agensi keselamatan lain dalam usaha membanteras kegiatan jenayah rentas sempadan,” katanya.
Beliau turut menyeru komuniti pesisir pantai dan nelayan supaya menjadi ‘mata dan telinga’ kepada pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berhubung sebarang aktiviti mencurigakan di laut menerusi talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Malaysia yang beroperasi 24 jam.





