Kes tikam pelajar: Remaja lelaki diperintah bela diri

MAHKAMAH Tinggi Shah Alam hari ini memerintahkan seorang pelajar lelaki 15 tahun membela diri atas pertuduhan membunuh seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun dalam kejadian tikaman di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama pada Oktober tahun lalu.

Hakim Adlin Abdul Majid membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima facie terhadap tertuduh.

Perkara itu dimaklumkan peguam, Kitson Foong yang mewakili tertuduh.

KITSON Foong, peguam yang mewakili tertuduh remaja 15 tahun bercakap kepada media di pakarangan Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini. GAMBAR: Ahmad Amirul Fahmi Ahmad Pauzi

Mahkamah menetapkan keputusan pada hari ini, selepas pihak pendakwaan memaklumkan pihaknya menutup kes dengan saksi pendakwaan terakhir ke-11, iaitu pegawai penyiasat kanan Asisten Superintenden Ahmad Zarrin Abd Rashid selesai memberi keterangan.

Antara saksi pendakwaan yang dipanggil memberi keterangan sepanjang prosiding ialah tiga kanak-kanak, guru sekolah, ibu mangsa dan pakar patologi.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz, Ahmad Iqbal Azman, lapor BH.

Prosiding dijalankan secara tertutup dan hanya keluarga remaja berkenaan dibenarkan berada di bilik bicara kerana melibatkan kes juvana.

Mengikut pertuduhan, remaja itu didakwa terlibat dalam satu kejadian tikaman melibatkan seorang pelajar tingkatan tiga kelas peralihan di bilik tandas pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah kebangsaan di Bandar Utama antara jam 9.20 hingga 9.35 pagi pada 14 Oktober 2025.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun, serta hendaklah dikenakan hukuman sebat tidak lebih 12 sebatan jika tidak dihukum gantung.

Bagaimanapun, di bawah Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001, hukuman mati tidak boleh dijatuhkan terhadap seseorang yang merupakan kanak-kanak pada masa kesalahan itu dilakukan.

Dalam pada itu, pihak pendakwaan mengemukakan hampir 100 eksibit sepanjang perbicaraan, termasuk pisau yang didakwa digunakan untuk menikam mangsa serta sebuah buku tulis anime ‘Death Note’.

Dalam kejadian itu, mangsa ditemukan meninggal dunia di tandas sekolah itu selepas disyaki ditikam berulang kali.

Pada 16 Januari lalu, Mahkamah Majistret Petaling Jaya diberitahu, laporan psikiatri mengesahkan remaja itu layak dibicarakan.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here