MAHKAMAH Tinggi Shah Alam hari ini menetapkan 26 Ogos depan untuk menyambung prosiding pembelaan seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun yang didakwa menikam seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di Bandar Utama, Oktober tahun lalu.
Hakim Adlin Abdul Majid menetapkan tarikh berkenaan selepas pemeriksaan balas terhadap saksi pakar, Dr Ian Lloyd Anthony, belum selesai.
Peguam Kitson Foong yang mewakili remaja terbabit berkata, pihaknya dijangka menyelesaikan pemeriksaan balas dan pemeriksaan semula (re-examination) terhadap Dr Ian pada tarikh berkenaan sebelum menutup kes pembelaan.
“Dr Ian telah pergi ke sekolah dan menemu bual guru serta rakan sekelas bagi mendapatkan maklumat mengenai sejarah dan reaksi penama (tertuduh juvana).
“Dia (tertuduh) dikenali dalam kalangan rakan sekolah sebagai ‘the boy who wear the face mask’ kerana sentiasa memakai pelitup muka dan ada antara mereka tidak pernah melihat wajahnya sehingga hari kejadian,” katanya ketika ditemui selepas prosiding hari ini.
Foong berkata, berdasarkan keterangan pakar, remaja terbabit dikatakan mengalami penyakit mental sebelum, semasa dan sehingga kini, namun pihaknya belum boleh mendedahkan diagnosis khusus berkenaan.
Katanya, Dr Ian turut memberi keterangan mengenai keadaan mental dan sejarah kesihatan remaja terbabit sebagai asas kepada pembelaan di bawah Seksyen 84 Kanun Keseksaan berkaitan ketidakwarasan mental.
“Masih ada soalan-soalan dan kami akan sambung pada 26 Ogos.
“Kami akan habiskan pemeriksaan balas dan pemeriksaan semula sebelum menutup kes pada hari sama,” katanya.
Beliau berkata, mahkamah turut menetapkan 3 September ini bagi pihak-pihak mengemukakan hujahan bertulis sebelum hujahan lisan atau penjelasan lanjut dibuat.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi memerintahkan remaja terbabit membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima facie terhadapnya.
Remaja terbabit yang juga pesalah juvana, didakwa menikam seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di tandas perempuan sebuah sekolah menengah di Bandar Utama pada 14 Oktober 2025.





