PELAKSANAAN Pasport Malaysia Antarabangsa dengan tempoh sah laku 10 tahun diteruskan seperti biasa dan tidak pernah dihentikan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, hanya pemberian tambahan tempoh sah laku melebihi 10 tahun dihentikan sementara berikutan masalah ketidakserasian sistem yang digunakan syarikat penerbangan.
Menurutnya, sebelum ini tambahan tempoh sehingga enam bulan diberikan kepada pemohon yang masih mempunyai baki tempoh sah laku pasport lama melebihi enam bulan ketika membuat pembaharuan.
“Yang kita hentikan ialah tambahan tempoh melebihi 10 tahun itu. Maksudnya di sini, ada pembaharuan pasport yang untuk 10 tahun kita bagi extra enam bulan.
“Kita mengambil kira baki pasport mereka yang sebelum dia tukar itu melebihi enam bulan. Jadi supaya tidak merugikan rakyat Malaysia yang ada baki banyak lagi itu, kita bagilah extra enam bulan,” katanya pada sidang media, hari ini, lapor Buletin TV3.
Bagaimanapun, Zakaria berkata, pemberian tambahan tempoh berkenaan menimbulkan kesulitan apabila sistem yang digunakan pihak syarikat penerbangan tidak menyokong pasport dengan tempoh sah laku melebihi 10 tahun.
“Niat kita baik untuk membantu rakyat Malaysia, tetapi perkara ini menimbulkan kesulitan kerana sistem yang diguna pakai oleh pihak syarikat penerbangan tidak support kepada tempoh pasport yang melebihi daripada 10 tahun,” katanya.
Susulan itu, katanya, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menawarkan penggantian secara percuma kepada pemegang pasport yang sudah dikeluarkan dengan tempoh sah laku 10 tahun enam bulan.
Menurutnya, pemegang pasport yang dikeluarkan dengan tempoh sah laku genap 10 tahun tidak berdepan masalah untuk melakukan perjalanan.
Penjelasan itu sekali gus menjelaskan kekeliruan berhubung dakwaan pasport Malaysia dengan tempoh sah laku melebihi 10 tahun tidak diterima negara asing.
Sebaliknya, isu berkenaan berpunca daripada ketidakserasian sistem syarikat penerbangan dengan tempoh sah laku pasport yang melebihi 10 tahun.





