Bekas penolong pegawai kesihatan, rakan didenda RM7,000 menyamar penjawat awam

SEORANG bekas penolong pegawai kesihatan dan rakannya masing-masing didenda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Kangsar, hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan melakukan pemerasan dan menyamar sebagai penjawat awam, bulan lalu.

Mohamad Ridzuan Dahalan, 34, dan Khairul Alamin Mohamed Daud, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Azlin Zeti Zainal Abidin.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama melakukan pemerasan terhadap Mohamad Pandak, 59, dengan niat tidak jujur bagi mendorong mangsa menyerahkan wang sebanyak RM2,000.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di kawasan sebuah chalet di Kampung Kenang Baru Jalong Tinggi, dalam daerah Sungai Siput (U), kira-kira jam 9 pagi pada 30 Julai lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa pada waktu dan lokasi sama menyamar dengan memegang jawatan sebagai penjawat awam iaitu Penolong Pegawai Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, Mohamad Ridzuan yang kontraknya sebagai penolong pegawai kesihatan telah ditamatkan pada 4 November 2025, bersama Khairul Alamin yang bekerja sebagai pekerja kontrak, hadir ke chalet pengadu dengan memperkenalkan diri sebagai kakitangan awam dari Jabatan Kesihatan Perak.

Kedua-duanya mendakwa hadir bagi menjalankan pemeriksaan berhubung aduan kes kencing tikus.

Selepas pemeriksaan, mereka memberitahu pengadu tidak akan mengambil tindakan undang-undang, sebaliknya meminta bayaran RM2,000.

Pengadu kemudian menyerahkan wang berkenaan secara tunai kerana terpaksa.

Semakan mendapati kedua-dua tertuduh bukan kakitangan KKM dan tidak mempunyai kuasa untuk menjalankan pemeriksaan atau mengenakan bayaran bagi pihak kementerian.

Dalam rayuan, kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Chan Hong Yan, memohon hukuman denda minimum dengan alasan masing-masing sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak selain merupakan kesalahan pertama mereka.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Mirza Zulaikha Mohd Fadzly.

Mahkamah kemudian menjatuhkan denda RM5,000 terhadap setiap tertuduh bagi pertuduhan pertama, masing-masing dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Bagi pertuduhan kedua, kedua-duanya didenda RM2,000 setiap seorang dan dikenakan hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda.

Kedua-dua tertuduh ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sungai Siput pada 11 Ogos lalu, lapor Sinar Harian.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here