POLIS memburu dua lelaki yang dipercayai terbabit dalam pergaduhan menggunakan senjata hingga mencederakan seorang lelaki di Jalan Bukit Kemuning, Batu 8, Sri Muda, Shah Alam, semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, siasatan mendapati sekumpulan lelaki terbabit menggunakan sebilah parang dan objek menyerupai pistol berhampiran kawasan berkenaan kira-kira jam 11 pagi.
Menurutnya, mangsa memaklumkan diserang dua lelaki sehingga mengalami kecederaan parah pada tangan kiri akibat ditetak menggunakan parang.
“Mangsa kini menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, polis kini giat mengesan dua suspek lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata, Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah menggunakan senjata serta Seksyen 8 Akta Senjata 1960 kerana memiliki objek menyerupai senjata api,” katanya.
Sarudin berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan.
“Maklumat boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Shamsiah Noor Zakaria menerusi talian 012-8308706,” katanya.





