Lelaki dipenjara tiga bulan, buat hantaran jelik hina kerabat diraja Terengganu

SEORANG lelaki dihukum penjara tiga bulan oleh Mahkamah Sesyen Sepang, hari ini selepas mengaku bersalah atas lima pertuduhan membuat hantaran bersifat menghina dan mengancam kerabat diraja Terengganu menerusi aplikasi X.

Hakim Mahkamah Sesyen, Ahmad Fuad Othman menjatuhkan hukuman terhadap Azman Hakim Hassanuddin, 35, selepas tertuduh mengaku bersalah atas kesemua pertuduhan.

Berdasarkan pertuduhan, penganggur yang tidak diwakili peguam itu didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Dia didakwa membuat serta memulakan penghantaran komunikasi yang jelik melampau sifatnya dan mengancam menerusi akaun X pada 19 Februari lalu.

Bagi empat pertuduhan, tertuduh didakwa membuat hantaran komunikasi yang jelik melampau sifatnya pada jam 2.25 petang, 4.19 petang, 4.20 petang dan 4.29 petang dengan niat untuk menyakitkan hati mana-mana orang.

Bagi satu lagi pertuduhan, dia didakwa membuat hantaran komunikasi yang mengancam sifatnya pada jam 3.46 petang dengan niat untuk mengugut mana-mana orang.

Kesemua hantaran berkenaan dilihat pegawai penyiasat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada 20 Februari kira-kira jam 6.30 petang di Aras 8, Menara MCMC 1, Jalan Impact, Cyber 6, Cyberjaya, Sepang, Selangor.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 233(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya, selain denda RM5,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas pensabitan.

Dalam penghakimannya, Ahmad Fuad menegaskan kesalahan yang menyentuh isu raja, agama dan kaum perlu dipandang serius kerana boleh memberi kesan luas kepada masyarakat.

Katanya, kesalahan berkaitan 3R boleh mencetuskan kesan berantai apabila penghinaan terhadap agama atau kaum menimbulkan kemarahan pihak yang terkesan, manakala penghinaan terhadap institusi Diraja boleh menyebabkan maruah dan kedudukannya dipandang rendah.

“Kita hormati Raja kita, ertinya kita melindungi Raja kita dan kita meletakkan di tempat yang tinggi.

“Apabila kamu melakukan perbuatan ini, ia merendahkan maruah Raja-Raja,” katanya.

Dalam rayuannya, Azman memohon hukuman diringankan dengan alasan dia perlu bergantung kepada rawatan termasuk mengambil ubat berikutan masalah psikiatri yang dialaminya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Fadhli Ab Wahab memaklumkan berdasarkan laporan Hospital Bahagia Ulu Kinta bertarikh 10 Ogos lalu, tertuduh didapati layak dihadapkan ke mahkamah untuk dibicarakan serta berupaya membela diri.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here