Peniaga didenda RM3,000 jual bingkai ayat al-Quran tidak ikut kaedah

SEORANG peniaga barang perhiasan didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Seremban, hari ini kerana menyimpan untuk tujuan jualan bingkai perhiasan tulisan ayat al-Quran yang tidak mengikut kaedah ditetapkan, dua tahun lalu.

Majistret Nurul Saqinah Rosli menjatuhkan hukuman terhadap Sajad Rahmat, 63, selepas tertuduh mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati menyimpan untuk tujuan penjualan 17 bingkai ayat al-Quran yang tidak mengikut kaedah penulisan ditentukan lembaga berkenaan bagi ayat al-Quran yang terkandung dalam bahan al-Quran.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira jam 11 pagi di sebuah premis beralamat di Jalan Nilai 3/11, Kawasan Perindustrian Nilai 3, Nilai, pada 27 Mac 2024.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14(1) Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986 (Pindaan 2023) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14(2) akta sama.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Pegawai Pendakwa Kementerian Dalam Negeri (KDN), Ariff Hussein memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal mengikut budi bicara mahkamah.

Sementara itu, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ardelliza Izmaryanti Shafie memaklumkan tertuduh merupakan seorang peniaga yang menanggung isteri dan tiga anak.

Sehubungan itu, beliau memohon hukuman denda minimum dengan alasan pengakuan bersalah tertuduh menjimatkan masa mahkamah dan pihak pendakwaan.

Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara empat bulan jika tertuduh gagal membayar denda berkenaan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here