BARANGAN kontraban bernilai kira-kira RM5.9 juta dirampas dalam serbuan di sebuah gudang di Kampung Sungai Serdang, Klang, Khamis lalu.
Serbuan menerusi Op Taring Alpha itu turut membawa kepada penahanan tiga individu termasuk dua lelaki warga Bangladesh dan seorang lelaki tempatan yang juga pengarah syarikat berkenaan.
Komander Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Mohd Zaki Ashar berkata, operasi dijalankan kira-kira jam 12.10 tengah hari bersama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara.
“Serbuan turut disertai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor, Pejabat Kesihatan Daerah Klang, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).
“Hasil pemeriksaan di premis berkenaan menemukan 32,200 batang rokok pelbagai jenama yang tidak bercukai kastam dengan nilai rampasan dianggarkan RM304,612,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, polis turut merampas 149 kotak minuman keras pelbagai jenama bernilai kira-kira RM129,914.41.
Katanya, sebanyak 167,526 kotak produk makanan dari China yang dianggarkan bernilai RM3.9 juta turut disita dalam serbuan itu.
“Pemeriksaan lanjut turut menemukan pelbagai produk kosmetik serta kesihatan dari China dengan nilai rampasan dianggarkan RM1.547 juta,” katanya.
Mohd Zaki berkata, siasatan awal mendapati gudang berkenaan dipercayai telah beroperasi kira-kira 14 tahun dan digunakan sebagai pusat penyimpanan sementara serta hab pengumpulan produk sebelum diedarkan kepada pelanggan di seluruh negara.
Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Akta Kastam 1967 khususnya berkaitan kesalahan menyimpan rokok dan minuman keras yang tidak bercukai kastam.
“Dua warga Bangladesh yang ditahan turut disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 berkaitan kesalahan berada di Malaysia tanpa dokumen perjalanan yang sah, manakala tindakan turut dijalankan berkaitan penggajian pekerja asing tanpa permit yang sah,” katanya.
Katanya, produk makanan pula dikenakan tindakan mengikut Akta Makanan 1985 dan Peraturan-Peraturan Makanan 2009, termasuk berkaitan kesalahan pelabelan makanan.
“Produk kosmetik dan kesihatan yang dirampas pula disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 serta Akta Racun 1952,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Zaki berkata, sepanjang tahun ini sehingga Jun, WCB/PSK JKDNKA Bukit Aman telah melaksanakan 234 serbuan di seluruh negara.
“Operasi berkenaan membawa kepada penahanan 409 individu atas pelbagai kesalahan membabitkan penyeludupan barangan tidak berkastam, ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi, penyeludupan hidupan liar serta operasi berkaitan e-waste.
“Jumlah keseluruhan nilai rampasan bagi tempoh tersebut dianggarkan RM311,031,676.64,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya akan terus memperkukuh kerjasama strategik bersama semua agensi berkaitan bagi memastikan tindakan penguatkuasaan lebih menyeluruh terhadap aktiviti jenayah terancang dan pelanggaran undang-undang.





