EKONOMI Malaysia berkembang sebanyak 6 peratus pada suku kedua 2026, mengatasi anggaran awal Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sebanyak 5.8 peratus, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).
Bank pusat itu memaklumkan pertumbuhan tersebut didorong oleh permintaan domestik yang berterusan dan prestasi eksport yang kukuh.
“Perbelanjaan isi rumah disokong oleh pertumbuhan pendapatan yang stabil dan sokongan dasar yang berterusan. Pertumbuhan pelaburan pula disokong oleh perbelanjaan yang berterusan bagi struktur serta jentera dan kelengkapan,” menurut BNM dalam kenyataan hari ini.
Prestasi pada suku kedua 2026 mengatasi pertumbuhan sebanyak 5.4 peratus yang dicatatkan pada suku pertama 2026.
Dalam sektor luaran, pertumbuhan pesat eksport didorong terutamanya oleh permintaan yang terus kukuh terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E) dan pengembangan perkhidmatan yang berterusan, di samping pemulihan eksport gas asli cecair (LNG) dan produk perkilangan bukan E&E.
“Import kasar terus berkembang berikutan pertumbuhan yang kukuh dalam import barangan perantaraan dan barangan pengguna,” menurut kenyataan itu.
Dari segi penawaran, BNM memaklumkan pertumbuhan disokong oleh pengembangan sektor perkhidmatan dan perkilangan.
“Pertumbuhan sektor perkhidmatan yang lebih tinggi didorong oleh subsektor berkaitan perniagaan, terutamanya subsektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) berikutan peningkatan pengoperasian pusat data,” kata BNM.
Dalam pada itu, pertumbuhan sektor perkilangan yang kukuh dipacu oleh kelompok industri berorientasikan eksport, khususnya segmen E&E susulan permintaan yang tinggi terhadap produk berkaitan kecerdasan buatan (AI).
Sektor perlombongan dan pengkuarian kembali mencatatkan pertumbuhan positif, mencerminkan pengeluaran gas asli yang lebih tinggi.
Berdasarkan asas suku tahunan yang terlaras secara bermusim, ekonomi berkembang sebanyak 2.5 peratus daripada -0.03 peratus pada suku pertama 2026.
Gabenor BNM Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata ekonomi Malaysia kekal berada pada landasan yang kukuh.
Beliau berkata pertumbuhan pada 2026 diunjurkan kekal dalam julat unjuran 4 peratus hingga 5 peratus dengan perkembangan terkini mengisyaratkan bahawa pertumbuhan keseluruhan berpotensi mencecah sekitar 5 peratus.
“Walaupun prospek pertumbuhan terus dipengaruhi oleh perkembangan luaran, Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk mengharungi cabaran tersebut, disokong oleh asas ekonomi yang kukuh serta kesediaan dasar,” katanya.
Pada peringkat domestik, katanya perbelanjaan isi rumah akan terus disokong oleh pertumbuhan pendapatan dan pelaksanaan langkah-langkah dasar yang berterusan.
Abdul Rasheed berkata aktiviti pelaburan akan dipacu oleh kemajuan projek berbilang tahun dalam sektor swasta dan awam, kadar realisasi pelaburan yang diluluskan yang kekal tinggi serta pelaksanaan berterusan pelan induk nasional.
“Dari segi sektor luaran, pertumbuhan eksport akan terus disokong oleh permintaan yang kekal kukuh terhadap produk E&E sejajar dengan peningkatan pelaburan dalam aktiviti berkaitan AI dan pengembangan teknologi global.
“Sokongan tambahan dijangka diperoleh daripada pemulihan prestasi eksport bukan E&E, di samping perbelanjaan pelancong yang mampan dan pengembangan eksport perkhidmatan ICT,” katanya.





