POLIS sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun diekori dan dikejar sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Hilux ketika pulang dari sekolah di Taman Megah Ria, Pasir Gudang, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada kanak-kanak terbabit pada jam 4.45 petang, Selasa lalu.
“Polis memandang serius mengenai kejadian ini dan sedang menjalankan siasatan lanjut serta mengenal pasti saksi dan motif kejadian tersebut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemantauan di kawasan terbabit turut dipertingkatkan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan orang awam sentiasa terpelihara.
Dalam pada itu, kejadian berkenaan terlebih dahulu didakwa bapa kanak-kanak terbabit menerusi hantaran di aplikasi Threads.
Menurutnya, anaknya bersama beberapa rakan sedang berjalan kaki pulang dari sekolah sebelum terserempak dengan sebuah Toyota Hilux yang didakwa mengekor mereka secara perlahan dari belakang.
Katanya, kenderaan berkenaan dipercayai mengekori kanak-kanak terbabit dari kawasan dewan serbaguna hingga ke masjid Taman Megah Ria.
“Anak saya bimbang dan meminta rakannya semua lari dan berpecah.
“Namun Hilux itu kejar anak saya dan pusing dua kali serta kejar, mujur terdapat seorang peniaga menjual nasi campur di depan rumah dan dia panggil anak saya,” katanya.
Menurutnya, anaknya kemudian menghubungi ibunya dan meminta wanita itu datang ke lokasi berkenaan.
Beliau mendakwa, peniaga berkenaan turut memaklumkan kepada isterinya bahawa sebelum ini terdapat dua kanak-kanak perempuan yang didakwa menjadi sasaran kenderaan Toyota Hilux berwarna hitam itu.
Sementara itu, Mohd Sohaimi menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih berkaitan kejadian berkenaan.
“Orang ramai yang memiliki maklumat kejadian itu boleh menghubungi balai polis berhampiran atau Pusat Kawalan Daerah Seri Alam di talian 07-3871422 atau hotline 07-3861422,” katanya.




