Ibu, anak lelaki dikenalpasti mangsa kereta dihempap lori tangki minyak

DUA mangsa yang dipercayai rentung selepas kereta dinaiki mereka dihempap lori tangki minyak  di Kilometer 9, Jalan Temerloh-Triang, jam 4 petang semalam disahkan sebagai ibu dan anak.

Mangsa dikenali sebagai Nur Fatima Abdullah, 39, dan anak lelakinya, Muhamad Fattah Aisy Nuafal Saifulnizam, 12.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron dalam satu kemyataan  berkata, ketika kejadian, kereta dinaiki dua beranak itu dalam perjalanan dari Jerantut ke Seremban, Negeri Sembilan.

Beliau berkata, kereta dinaiki mereka dihempap lori tangki membawa kira-kira 32,000 liter petrol dan diesel.

“Lori tangki terbabit dalam perjalanan dari Bera ke Temerloh dan ketika tiba di lokasi kejadian, kenderaan terlibat terbabas lalu terbalik dan menghempap kereta dinaiki dua beranak terbabit.

“Akibat kemalangan itu, kereta serta lori terbakar dan kedua beranak rentung hangus. Walaupun keluarga mangsa sudah tampil memberi keterangan kepada polis namun pengesahan identiti kedua-duanya akan dijalankan melalui perbandingan DNA waris,” katanya.

Mohd Nasyim berkata, pemandu lori tangki berusia 37 tahun terbabit dalam nahas itu hanya cedera ringan.

Mayat dua beranak dihantar ke Hospital Sultan Ahmad Shah untuk tindakan lanjut.

Penolong Pengarah JBPM Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, 11 anggota BBP Bukit Angin dan Temerloh bergegas ke lokasi selepas menerima laporan pada jam 4.08 petang.

“Ketika tiba di lokasi didapati kedua-dua kenderaan sedang terbakar dan bomba mengambil masa lebih dua jam untuk memadam kebakaran itu,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here