DUA pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Alor Gajah yang dilaporkan hilang baru-baru ini ditemui di sekitar Central Market (Pasar Seni), Kuala Lumpur malam tadi.
Perkara itu disahkan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki awal pagi hari ini.
“Alhamdulillah, pihak Polis Bukit Aman berjaya menemui kedua-dua pelajar MRSM Alor Gajah Siti Nur Aaira Aidi dan Nur Aisy Humaira Mohd Saad yang dilaporkan hilang sejak Selasa di sekitar Central Market Kuala Lumpur pukul 10.31 malam tadi (semalam),” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Sebelum ini, polis menerima laporan mengenai kehilangan dua pelajar perempuan Tingkatan Empat Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Alor Gajah, Melaka, sejak Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, laporan berhubung kehilangan dua pelajar itu dibuat seorang guru pada jam 10.46 malam, 11 Ogos lalu.





