5.3 juta individu terima bayaran Sumbangan Tunai Rahmah hari ini

SEBANYAK 5.3 juta penerima akan mula menerima bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 3 secara berperingkat mulai hari ini, membabitkan peruntukan RM1.2 bilion, menurut Kementerian Kewangan (MOF).

Jumlah penerima itu meningkat sebanyak 300,000 berbanding lima juta penerima pada awal tahun, dengan 3.9 juta daripadanya terdiri daripada isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana rendah, manakala 1.4 juta merupakan warga emas tiada pasangan.

“Bagi Fasa 3, penerima akan menerima bayaran antara RM150 dan RM600 bergantung pada pendapatan serta bilangan anak, manakala warga emas tiada pasangan menerima RM150. Secara keseluruhan, jumlah STR yang disalurkan bagi tiga fasa pada 2026 mencecah RM3.6 bilion,” menurut MOF dalam satu kenyataan hari ini.

Penerima, bergantung pada kategori kelayakan, boleh menerima bantuan hingga RM3,300 secara terkumpul setakat Ogos 2026 melalui STR Fasa 1 hingga Fasa 3 serta Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bulanan.

Menurut MOF, jumlah itu tidak termasuk pemberian sekali beri bantuan SARA untuk semua warganegara Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas.

Kementerian itu memaklumkan mulai tahun ini, bantuan kepada rakyat distrukturkan semula supaya sokongan diterima secara lebih teratur sepanjang tahun, dengan STR disalurkan secara suku tahunan, manakala SARA menyediakan bantuan asas secara bulanan kepada penerima yang layak.

Dalam kenyataan yang sama, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan terus memastikan bantuan disalurkan kepada golongan yang memerlukan dalam keadaan kos sara hidup masih menjadi cabaran kepada sebahagian rakyat.

“Dalam keadaan kos sara hidup masih menjadi cabaran kepada sebahagian rakyat, kerajaan akan terus memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan. Sebab itu jumlah isi rumah yang menerima STR meningkat daripada 3.7 juta pada awal tahun kepada 3.9 juta bagi Fasa 3.

“STR dan SARA membantu meringankan keperluan rakyat hari ini, sementara kerajaan terus melaksanakan reformasi dan memperkukuh ekonomi bagi meningkatkan pendapatan serta taraf hidup rakyat. Matlamat kita bukan sekadar memberikan bantuan, tetapi memastikan kehidupan rakyat bertambah baik,” kata beliau.

Sementara itu, MOF memaklumkan penstrukturan semula kewangan kerajaan serta penambahbaikan tatakelola membolehkan lebih banyak hasil negara disalurkan kepada rakyat yang memerlukan.

Peruntukan keseluruhan STR dan SARA bagi 2026 berjumlah RM15 bilion, tertinggi dalam sejarah Kerajaan Persekutuan dan hampir tiga kali ganda berbanding pembayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pada 2016.

Penerima yang mempunyai akaun bank akan menerima bayaran STR Fasa 3 melalui pengkreditan terus ke akaun masing-masing mulai hari ini.

Bagi penerima yang tidak mempunyai akaun bank, bayaran boleh diterima secara tunai melalui cawangan Bank Simpanan Nasional di seluruh negara.

Bagi mengurangkan risiko kebocoran, permohonan baharu dan rayuan STR dibuka sepanjang tahun melalui portal rasmi STR, bantuantunai.hasil.gov.my⁠.

Soalan lazim (FAQ) berkaitan STR turut disediakan dalam portal berkenaan, manakala FAQ SARA boleh disemak melalui sara.gov.my⁠.

MOF turut mengingatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap pautan palsu dan cubaan penipuan serta hanya merujuk portal rasmi STR bagi mendapatkan maklumat terkini.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here