SEORANG guru ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar tingkatan empat di sebuah sekolah menengah di Kuala Terengganu.
Polis menerima laporan daripada seorang pelajar sekolah menengah berhubung kejadian itu kira-kira jam 4 petang 12 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, berdasarkan laporan itu, mangsa mendakwa pada 10 Ogos lalu, kira-kira jam 10.15 pagi, ketika berada di sebuah sekolah menengah, seorang lelaki yang dikenalinya, iaitu seorang guru, bertindak melakukan amang seksual fizikal terhadapnya.
Katanya, mangsa turut memaklumkan bahawa sebelum itu, guru terbabit beberapa kali melakukan amang seksual fizikal terhadapnya.
“Susulan laporan itu, pada 13 Ogos lalu kira-kira jam 11.10 pagi, polis telah menahan suspek iaitu seorang guru lelaki yang mengajar di sekolah di mana mangsa sedang belajar di sekolah itu.
“Permohonan tahanan reman terhadap suspek telah diperoleh di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu dan tempoh reman selama enam hari bermula 14 hingga 19 Ogos depan,” katanya.
Menurut Azli, kertas siasatan sudah dibuka mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan juga dihukum sebat.
Beliau berkata, polis sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut.
Tambahnya, ibu bapa dinasihatkan agar sentiasa memberi didikan awal berkenaan risiko dan kesan gangguan seksual selain memantau pergerakan harian anak-anak mereka.





