DAP akan teruskan inspirasi Kit Siang, kekal parti untuk berbilang kaum

DAP akan terus kekal sebagai parti berbilang kaum untuk seluruh rakyat Malaysia dan pendirian itu berdasarkan kepada inspirasi dan ketegasan veteran parti, Lim Kit Siang kira-kira lima dekad lalu.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, inspirasi itu bermula daripada ketegasan Kit Siang menolak pelawaan bekas Presiden MCA, Tun Tan Siew Sin untuk membubarkan DAP dan bergabung dengan MCA pada awal 1970-an.

Anthony berkata, keputusan Kit Siang itu dibuat atas dasar prinsip DAP bukannya parti untuk masyarakat Cina sahaja, sebaliknya dibentuk bersama pemimpin dan ahli daripada kaum Melayu, India serta pelbagai latar belakang lain.

“Itu pada awal 1970-an, lebih 50 tahun yang lalu. Pada hari ini, DAP berusia 60 tahun.

“Selaku Setiausaha Agung pada 2026, saya juga ingin secara tegas menyatakan DAP akan kekal sebagai parti berbilang kaum untuk rakyat Malaysia,” katanya ketika berucap pada Persidangan Parti DAP 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya hari ini.

Mengulas lanjut, Anthony berkata, semua ahli dan pimpinan DAP perlu mempertahankan idealisme asal parti iaitu memperjuangkan keadilan, kebebasan dan demokrasi untuk semua tanpa mengira kaum mahupun agama.

Beliau turut mengakui cabaran terbesar dihadapi parti itu sejak 60 tahun lalu sehingga kini tidak pernah berubah, iaitu tohmahan perkauman yang terus dilemparkan lawan.

“DAP daripada dulu sehingga sekarang tak pernah mengambil mana-mana pendekatan perkauman untuk memusuhi mana-mana satu kaum,” katanya.

Tambahnya, objektif utama parti itu dalam Kerajaan Persekutuan hari ini adalah untuk memecahkan tembok politik perkauman dan memastikan setiap rakyat Malaysia mempunyai peluang yang saksama untuk berjaya dalam kehidupan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here