NAIB Presiden PKR, Datuk Seri R Ramanan mengingatkan, perpecahan dalam parti atau perbuatan ‘mencucuk sesama sendiri’ kerana perselisihan di peringkat atasan akan melemahkan jentera akar umbi dan menguntungkan lawan politik.
Menurut beliau, perbezaan pandangan atau pendekatan dalam parti tidak seharusnya menyebabkan cabang, ranting dan anggota berpecah sehingga menjejaskan kekuatan PKR menghadapi pilihan raya.
“Kalau kita mencucuk sesama sendiri di atas, yang akhirnya menjadi mangsa ialah jentera kita di bawah.
“Cabang berpecah. Ranting berpecah. Anggota keliru. Jentera menjadi lemah. Dan akhirnya, lawan politik kita yang mendapat keuntungan,” katanya ketika berucap pada penggulungan Kongres Nasional PKR 2026 di Ayer Keroh, Melaka hari ini.
Ramanan turut menegaskan tiada individu atau kelompok yang lebih besar daripada parti, dan kepentingan peribadi tidak seharusnya mengatasi perjuangan PKR.
Menurutnya, sebarang perbezaan perlu diselesaikan melalui perbincangan dan semangat kekeluargaan, bukannya membiarkan ego menguasai parti.
“Kalau ada perbezaan, kita duduk semeja. Kalau ada masalah, kita selesaikan sebagai satu keluarga. Kalau ada ego, kita ketepikan,” katanya.
Dalam pada itu, Ramanan berkata, mempertahankan parti dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bermakna anggota tidak boleh menegur atau mempunyai pandangan berbeza.
Katanya, matlamat utama parti ketika ini adalah memperkukuh PKR, memenangi pilihan raya umum (PRU) akan datang dan memastikan Anwar meneruskan kepimpinan untuk penggal kedua.
“Kalau ego masih menebal, kerja terpecah, kita kalah Putrajaya, tiada siapa yang akan untung. Reformasi mungkin terhenti,” katanya.





