POLIS sedang menyiasat pergaduhan membabitkan sekumpulan lelaki warga asing di sebuah restoran di Ampang Jaya malam tadi.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, dalam pergaduhan kira-kira jam 11 malam itu, seorang lelaki cedera ringan di badan.
Menurut beliau, pergaduhan itu turut menyebabkan kerosakan harta benda di premis berkenaan.
Susulan itu, beliau dalam kenyataan berkata, pihaknya menjalankan siasatan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan, Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Terdahulu tular dalam media sosial, rakaman video memaparkan sekumpulan warga asing bergaduh di hadapan sebuah premis makanan di kawasan Ampang Jaya malam tadi.





