KETUA Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari mendakwa kongres khas DAP hari ini hanya ‘wayang opera’.
“DAP tidak akan keluar kerajaan hari ini. Hanya wayang opera sahaja. Rakyat yang akan keluarkan mereka,” katanya dalam hantaran ringkas di Facebook hari ini.

Sebanyak 4,264 perwakilan daripada 1,704 cawangan DAP layak membuat keputusan sama ada parti itu perlu terus kekal dalam Kerajaan Persekutuan atau keluar bagi baki penggal Parlimen semasa.
Usul mengenai hala tuju DAP itu dibentangkan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke pada persidangan khas sehari yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya.
Sekiranya parti itu memilih untuk keluar daripada kerajaan, wakil DAP yang memegang jawatan dalam pentadbiran akan kembali menjadi Ahli Parlimen biasa di blok kerajaan bagi baki penggal ini.
Bagaimanapun kesemua 14 pembahas dari setiap negeri hari ini mahu parti itu terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal Parlimen ke-16.
Kesemua mereka meminta perwakilan untuk terus memberikan sokongan supaya DAP meneruskan kerjasama dalam kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.





