Kamu pilih seorang Anwar, saya akan buat keputusan yang betul – PM umum tambahan RM1juta setiap Parlimen

DATUK Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan tambahan peruntukan RM1 juta bagi setiap kawasan Parlimen, sambil menegaskan bantuan kepada rakyat tidak boleh dipengaruhi perbezaan politik.

Perdana Menteri turut menolak dakwaan kerajaan sengaja menyekat peruntukan pembangunan kepada negeri diterajui pembangkang sehingga rakyat menjadi mangsa.

“Malah hari ini saya mahu umumkan, bagi setiap kawasan Parlimen, saya beri tambahan RM1 juta terus untuk rakyat,” katanya ketika berucap pada penggulungan Kongres Nasional PKR 2026 di Ayer Keroh, Melaka hari ini.

Anwar yang juga Presiden PKR turut menafikan pentadbirannya meminggirkan negeri dikuasai Perikatan Nasional (PN), sambil mendedahkan ada pemimpin UMNO yang sebelum ini tidak bersetuju dengan keputusannya menyalurkan bantuan kepada negeri terbabit.

“Kawan-kawan saya di Kedah, Kelantan dan Terengganu banyak mengkritik saya. Kawan-kawan dalam UMNO pun ramai mengkritik saya. Orang UMNO kata kepada saya, ‘Anwar, dasar ini salah. Mengapa bantu mereka?’

“Walaupun mereka melihat ada kerjasama di peringkat negeri, mereka tidak bersetuju apabila saya meluluskan bantuan kepada Kelantan, Terengganu dan sebagainya,” katanya.

Anwar memberitahu, beliau mempunyai tanggungjawab untuk membantu golongan miskin tanpa mengira fahaman politik.

“Saya berjanji membantu mereka. Kalau masalah mereka berlarutan puluhan tahun dan setiap tahun dilanda banjir, saya sebagai perdana menteri tidak boleh berdiam diri apabila negeri mereka musnah, harta benda dan kampung rosak.

“Kamu pilih seorang bernama Anwar dan saya akan buat keputusan yang betul. Yang betul adalah berlaku adil kepada semua, bukan sekadar beri projek kepada pihak tertentu,” tegas beliau.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here