MALAYSIA berdepan tugas getir untuk mara ke final Piala ASEAN 2026 selepas tewas 0-2 kepada juara bertahan, Vietnam dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur malam ini.
Kekalahan itu menyaksikan anak buah Tan Cheng Hoe wajib mendapatkan keputusan positif pada perlawanan timbal balik di Hanoi pada Rabu ini jika mahu menempah tempat ke final buat kali pertama sejak 2018.
Menariknya, pada edisi 2018, Cheng Hoe juga merupakan individu yang membimbing skuad Harimau Malaya sehingga ke pentas final.
Pada separuh masa pertama, Malaysia tampil dengan persembahan seimbang dan mampu memberi tentangan kepada Vietnam. Namun, skuad negara terpaksa melakukan perubahan awal apabila Rodney Celvin Akwensivie mengalami masalah pada minit ke-15 sebelum digantikan oleh Aysar Hadi Shapri.
Malaysia hampir membuka jaringan pada minit ke-26 apabila G Pavithran mendapat peluang berdepan penjaga gol Vietnam, Giang Patrick Le. Bagaimanapun, usahanya berjaya disekat sebelum pengadil, Lutfullin Rustam, memberikan sepakan gol kepada pasukan pelawat.
Skuad negara sekali lagi mempunyai peluang keemasan pada minit ke-34 selepas Faris Daniah Asrul melakukan hantaran lintang yang ditampan Paulo Josue. Namun, Patrick Le pantas menafikan percubaan tersebut, manakala bola muntah yang disambar Daryl Sham George pula melambung jauh.
Vietnam kemudian meningkatkan tekanan menjelang penghujung babak pertama. Azri Ghani terlebih dahulu berjaya menepis percubaan Nguyen Dinh Bac, tetapi penjaga gol Malaysia itu akhirnya terpaksa akur apabila Nguyen Xuan Son menanduk masuk gol pembukaan dari jarak dekat ketika masa separuh masa pertama hampir tamat.
Memasuki babak kedua, Malaysia tampil lebih agresif dengan memanfaatkan kepantasan pemain di bahagian sayap. Beberapa gerakan berjaya dilakukan ke kawasan pertahanan Vietnam, namun penyudah yang diperlukan masih belum hadir.
Vietnam pula hampir kehilangan seorang pemain apabila Patrick Le dilayangkan kad merah pada minit ke-60 selepas keluar dari kawasan penalti untuk menghalang larian Mohamadou Sumareh.
Bagaimanapun, keputusan itu berubah selepas Lutfullin membuat semakan VAR dan menarik balik kad merah berkenaan, sekali gus membolehkan Vietnam meneruskan permainan dengan kekuatan penuh.
Usaha Malaysia untuk merapatkan jurang menjadi semakin sukar pada minit ke-85 apabila Faris Danish tertampan hantaran Nguyen Quang Hai sehingga bola menerjah gawang sendiri.
Vietnam akhirnya mengekalkan kelebihan 2-0 sehingga wisel penamat, sekali gus membawa bekalan selesa menjelang aksi timbal balik di laman sendiri minggu depan.





