POLIS menahan seorang lelaki yang disyaki melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap seorang pembantu pustakawan sebelum mencuri wang tunai milik mangsa berjumlah RM390 di Perpustakaan Desa Padang Siding, di Arau, Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, suspek berusia 25 tahun itu ditahan pasukannya pada tengah hari tadi dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kangar esok untuk permohonan reman.
“Dalam soal siasat awal, suspek mengaku melakukan perbuatan melampau terhadap wanita berusia 37 tahun dan mencuri wang tunai milik mangsa.
“Susulan penahanannya, polis merampas motosikal jenis Yamaha Y15ZR, anak kunci dan topi keledar yang dipercayai digunakan suspek ketika kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Harian Metro.
Ahmad Mohsin berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.
Katanya, semakan turut mendapati suspek mempunyai tujuh rekod kesalahan termasuk penyalahgunaan dadah, mencuri, menceroboh dan rogol mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
“Kes kini sedang disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri di dalam bangunan serta Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana perbuatan mengaibkan kehormatan seseorang,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan seorang pembantu pustakawan berdepan detik cemas apabila didatangi seorang lelaki yang melakukan perbuatan tidak senonoh di kaunter perpustakaan.
Mangsa kemudian berlari keluar dalam keadaan panik untuk meminta bantuan.
Suspek bagaimanapun dipercayai mengambil kesempatan ketika keadaan kelam-kabut itu untuk melarikan wang tunai milik mangsa berjumlah RM390.





