SEORANG lelaki maut selepas motosikal ditungganginya merempuh bahagian belakang sebuah lori yang ditinggalkan di bahu jalan akibat kehabisan minyak di atas jejambat Wakaf Bharu, Tumpat, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa berusia 35 tahun menunggang motosikal Yamaha 135LC dari arah Kota Bharu menghala ke Pengkalan Kubor melalui jejambat berkenaan.
“Apabila sampai di lokasi dan semasa sedang bergerak melalui selekoh Jalan Flyover Wakaf Bharu, mangsa dipercayai terlanggar belakang sebelah kanan sebuah lori yang ditinggalkan dalam keadaan parkir di bahu kiri jalan disebabkan kehabisan minyak.
“Akibat perlanggaran itu, mangsa yang mengalami kecederaan parah pada bahagian dada disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan oleh Penolong Pegawai Perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Khairi berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tumpat untuk proses bedah siasat.
Menurutnya, punca kematian mangsa disahkan Pegawai Perubatan Hospital Tumpat sebagai multiple fatal injury due to motor vehicle accident.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menyalurkan maklumat kepada Polis Daerah Tumpat.
Maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Trafik menerusi talian 09-7257222 atau hadir ke Pejabat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat.





