EMPAT lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini atas tuduhan membunuh seorang ahli perniagaan sebelum mayatnya ditemukan terapung dalam bungkusan jaring, awal bulan ini.
Kesemua tertuduh ialah Yogesvaran Subramaniam, 40; Lim Yong Ming, 26; Achuthan Nagarajan, 32, dan How Han Wei, 33.
Yogesvaran yang juga pemandu lori, Yong Ming dan Achuthan pula kelindan lori manakala Han Wei seorang peniaga kenderaan terpakai hanya mengangguk sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh memadangkan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, kesemua mereka bersama-sama didakwa membunuh Low Kai Xian, 39, antara kedai makan di Jalan Emas Putih, Taman Sri Skudai, Johor Bahru sehingga di Sungai Tanjung Sembrong, Parit Raja dekat Batu Pahat.
Kejadian itu berlaku pada jam 2.35 petang hingga 12.30 tengah hari, antara 29 Julai hingga 3 Ogos lalu, lapor Harian Metro.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Seksyen terbabit memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta, jika tidak dihukum mati, dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Shahzleen Ibrahim. Tertuduh Yogesvaran, Yong Ming dan Han Wei diwakili peguam Datin Fareda Sabapathy manakala peguam Sean Dodley Samuel Jayarajan mewakili Achuthan.
Chuah Shyue Chien dan Kenji Soh Xin Da pula bertindak selaku peguam pemerhati kepada keluarga mangsa.
Sebelum itu, kesemua tertuduh tiba di pekarangan mahkamah pada jam 8.10 pagi dikawal ketat pasukan polis daripada Bahagian Siasatan Khas/ Jenayah Berat (D9).
Terdahulu pihak pendakwaan memohon mahkamah menetapkan tarikh baharu sementara menunggu laporan bedah siasat, laporan asid deoksiribonukleik (DNA), laporan forensik kamera litar tertutup (CCTV) dan forensik telefon bimbit.
Selain itu, tiada tawaran ikat jamin dikenakan terhadap kesemua tertuduh.
Mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan kes disebut semula pada 14 Oktober ini sementara menunggu laporan terbabit.
Sebelum ini, Kai Xian dilaporkan hilang oleh ahli keluarga sejak 29 Julai selepas gagal dihubungi. Pada masa sama, ahli keluarganya hanya menemukan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Johor Bahru.
Bagaimanapun, polis menerima maklumat orang awam mengenai penemuan mayat pada jam 12.30 tengah hari, 3 Ogos lalu.
Hasil siasatan mendapati tangan dan kaki mangsa diikat dengan pita pelekat selain terdapat beberapa kesan kecederaan di pinggang dan lengan.
Mayat terbabit dibungkus serta dililit dengan jaring. Pemeriksaan turut menemukan lima ketul batu yang diletakkan bersama dalam jaring terbabit.
Motif kejadian masih dalam siasatan namun polis tidak menolak kemungkinan pembunuhan berpunca daripada hutang.





