SELEPAS lebih dua dekad mencipta nama dalam dunia bola sepak, Cristiano Ronaldo memberi isyarat bahawa masa untuk mengakhiri kariernya sebagai pemain profesional semakin hampir.
Bintang Portugal itu mengakui musim 2026-2027 mungkin menjadi musim terakhirnya di atas padang, ketika usianya sudah mencecah 41 tahun.
Dalam wawancara bersama Vogue, Ronaldo berkata, beliau mahu memastikan perjalanan kariernya berakhir dengan legasi yang membanggakan.
“Ini mungkin tahun terakhir saya dalam bola sepak dan saya mahu meninggalkan legasi yang hebat,” katanya.
Ronaldo pada masa sama mengakui sudah mula menyusun kehidupan selepas persaraan, terutama bagi memastikan dirinya tidak terlalu terkesan dengan perubahan rutin selepas meninggalkan bola sepak.
Katanya, beliau mempunyai pelbagai rancangan untuk dilakukan selepas bersara, termasuk meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga.
“Bola sepak boleh meninggalkan ruang kosong yang besar, jadi anda perlu mengisi masa dengan pelbagai cara, bukan hanya satu,” katanya.
Pemain yang terkenal dengan disiplin dan komitmen tinggi itu juga mahu menikmati kehidupan dengan lebih santai selepas bertahun-tahun mengorbankan masa dan tenaga demi karier.
Antara perkara yang ingin dilakukannya adalah mengembara dan menikmati hasil daripada perjalanan panjangnya sebagai pemain profesional.
“Lagipun, sudah 25 tahun dengan banyak pengorbanan,” katanya.
Ronaldo meninggalkan Manchester United pada penghujung 2021 sebelum menyertai Al-Nassr dalam saingan Liga Pro Saudi, yang kini menjadi pentas utama buatnya meneruskan karier.
Sepanjang perjalanan kariernya, beliau memenangi lima trofi Liga Juara-Juara UEFA serta kejuaraan liga di England, Sepanyol dan Itali.
Bersama Portugal, Ronaldo turut meraih kejayaan di Kejohanan Eropah UEFA dan kini memegang status sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman dalam sejarah bola sepak antarabangsa lelaki.
Sekiranya musim depan benar-benar menjadi noktah kepada kariernya, Ronaldo akan meninggalkan bola sepak dengan koleksi pencapaian yang menjadikannya antara figura paling berpengaruh dalam sejarah sukan berkenaan.





